Mar 28, 2023 - FASMusim ini Malaysian Football League (MFL) telah memperkenalkan Kejohanan Piala MFL 2023 yang dianjurkan khas buat pemain-pemain berumur bawah 23 tahun bagi membantu mereka mendapatkan minit permainan serta pendedahan luas dalam saingan kompetitif.
Saingan Piala MFL 2023 ini akan disertai sebanyak 15 pasukan daripada kelab Liga Super sert pasukan Projek FAM-MSN. Pasukan dibahagikan dalam dua kumpulan secara undian, skuad Selangor B23 ditempatkan di Kumpulan B bersama Kuala Lumpur City Extension, Perak II, Negeri Sembilan FC, Pahang FC, Kuching FC serta Kelantan FC.
Empat kelab teratas kumpulan A dan B akan layak ke pusingan kedua yang dinamakan Liga Juara. Dua pasukan teratas Liga Juara ini akan layak ke Perlawanan Akhir Piala MFL untuk julung kalinya.
Skuad Gergasi Merah B23 telah beraksi dalam dua perlawanan setakat ini. Berikut adalah keputusan perlawanan:
Selangor B23 (0-1) Kuala Lumpur City Extension
Perak FC II (1-1) Selangor B23
56' Haykal Danish
Setakat ini, skuad Selangor B23 menduduki tempat kelima dalam Kumpulan B dengan satu mata penuh dan satu jaringan gol daripada dua perlawanan.
Kapten pasukan, Faiz Amer, 20 tahun, berharap dapat membantu pasukan untuk menghadapi Piala MFL 2023 bersama barisan pemain Selangor B23 yang baharu.
"Saya sedar kedudukan pasukan sekarang bukanlah yang terbaik tetapi ini pengalaman yang baik untuk kami semua. “Dua perlawanan lalu membantu kami untuk menganalisis kekurangan dan kelebihan yang pasukan ada. Masih ada peluang kami untuk pastikan pasukan layak ke pusingan seterusnya, saya yakin dengan kebolehan rakan sepasukan."
"Musim ini, ramai pemain baru masuk dan kebanyakan mereka berumur 18 tahun. Musim pertama, kebanyakkan pemain baharu berada dalam fasa untuk menyesuaikan diri, saya juga mengalaminya sebelum ini. Jadi, saya sebagai salah seorang pemain senior skuad ini berharap dapat membantu pasukan untuk layak ke pusingan Liga Juara sekaligus ke Perlawanan Akhir Piala MFL 2023, Inshaa-Allah," semangat Faiz.
Piala MFL 2023 akan bersambung minggu ini sebaik sahaja tamat Piala Merlion semalam. Jadual perlawanan sehingga bulan April adalah seperti berikut:-
30/03/2023 - SELANGOR B23 vs NEGERI SEMBILAN FC
03/04/2023 - SRI PAHANG FC vs SELANGOR B23
12/04/2023 - SELANGOR B20 vs KUCHING CITY FC
14/04/2023 - SELANGOR B20 vs KELANTAN FC
Pihak Pengurusan Selangor FC berharap skuad Gergasi Merah B23 akan bergerak bersama untuk mendapat pencapaian terbaik musim sulung Piala MFL. Ayuh, Merah Kuning!
Demi Kebanggaan!